HUKUM MENGGUNAKAN RAWATAN ULAT BAGI PESAKIT LUKA KRONIK


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) Bagi Pesakit Luka Kronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami.

Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan”

Muzakarah berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan babi dan anjing yang jelas hukumnya najis.

Pandangan ini adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:

Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang menyatakannya sebagai haram.”

Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah.

Justeru, ia tidak menjejaskan kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.

Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini adalah sah.

Diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Post a Comment

0 Comments