Budayakan Kasih Mengikut Cara Islam


PADA hari ini kita melihat sebahagian umat Islam sendiri turut menyambut Hari Valentine yang kononnya disambut untuk memperbaharui rasa cinta.

Untuk menceritakan sejarah awal Hari Valentine, saya kira ramai maklum perkara tersebut. Apa yang boleh disimpulkan, Hari Valentine bukanlah datang daripada acuan Islam.

Dalam sambutan ini ada unsur kepercayaan. Ini kerana berdasarkan sejarahnya, ia berasal daripada ajaran Kristian dan sambutannya juga dipelopori orang yang beragama Kristian. Perayaan ini menjadi kepercayaan, adat dan budaya mereka.

Dari satu perspektif, Islam melarang kita menyerupai agama lain dan Islam melarang kita menyerupai budaya lain lebih-lebih lagi yang wujud di sana kepercayaan. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Kita ambil contoh mudah seperti pakaian. Dalam Islam, Baginda SAW juga memakai seluar tetapi di luarnya Baginda SAW memakai baju labuh seperti jubah. Pada hari ini masyarakat Islam juga memakai seluar.

Adakah dengan memakai seluar, kita menyerupai budaya orang kafir atau Barat?

Tidak, ini kerana tidak ada unsur kepercayaan atau keagamaan pada pakaian tersebut. Namun jika di situ wujud unsur kepercayaan, atau pakaian itu sinonim dan menunjukkan identiti orang kafir, ia hendaklah ditinggalkan.

Adapun isu Valentine, wujud di sana unsur kepercayaan dan agama kerana ia membabitkan perayaan. Harus difahami perayaan dan sambutan dalam Islam adalah termasuk dalam urusan ibadat.

Hari Valentine dilakukan atas dasar cinta yang terlampau. Islam tidak melarang manusia untuk berkasih sayang sesama suami isteri, keluarga, ibu bapa dan sesama manusia selama mana hubungan itu adalah halal.

Sedangkan Hari Valentine adalah sambutan hari kekasih dalam erti kata yang luas tanpa ada batasnya; sama ada suami isteri atau yang belum berkahwin. Bahkan kebiasaannya yang menyambut Hari Valentine adalah pasangan yang belum berkahwin.

Apabila wujud di sana hubung kait Hari Valentine dengan amalan seseorang Muslim, ia secara langsung atau tidak langsung menyerupai amalan yang dibudayakan orang kafir dan ia dilarang dalam Islam. Maka hukum menyambutnya adalah haram.

Pada hari ini, duka citanya media massa banyak mempromosikan sambutan dan perayaan Hari Valentine.

Maka apakah langkah kerajaan dan agamawan untuk mengekang sambutan Hari Valentine terhadap remaja Islam secara khasnya dan masyarakat Islam secara umumnya, memandangkan menyambutnya adalah berdosa dan termasuk dalam menyerupai budaya dan amalan orang kafir?

Ilmuwan yang mengetahui ilmu agama dan hukum hakam syariat bertanggungjawab untuk terus menerus memberikan maklumat dan menjelaskan hukum hakamnya kepada masyarakat awam yang barangkali masih terikut meraikan Hari Valentine ini akibat kejahilan, sikap sambil lewa dan memandang remeh hal ini.

Setelah itu sama ada masyarakat hendak menerimanya ataupun tidak, mereka menunaikan tanggungjawab mereka. Adapun kepada pihak kerajaan, kita mencadangkan kepada mereka supaya iklan dan sambutan secara terang-terangan tidak dibenarkan atau tidak diberikan sokongan.

Ini kerana apabila perkara yang bercanggah dengan Islam diagungkan atau diangkat, dibantu, atau disokong, itu bererti kita sebenarnya membuka ruang dan jalan untuk orang melakukan kemaksiatan.
Sedangkan ulama khususnya ulama di Timur Tengah bersepakat tentang hukum sambutan Hari Valentine, iaitu haram.

Niat tak halalkan cara


Ada segelintir dalam kalangan masyarakat Islam melihat bahawa Hari Valentine boleh diraikan sekiranya niat dan tujuannya baik. Kita kena ingat bahawasanya niat yang baik tidak semestinya membawa kepada amalan yang diredai dan diterima ALLAH.

Sebagai contoh, ibadah solat. Niat seseorang itu barang kali baik iaitu mendirikan solat kerana ALLAH. Tetapi kemudian dia tidak mengerjakan solat itu seperti mana yang dituntut dalam syarak, dia tidak solat seperti mana Nabi SAW solat.

Dia solat tanpa berwuduk terlebih dahulu, tidak menghadap kiblat, tidak bertakbir dan meninggalkan rukun solat yang lain. Atau mungkin ada pula yang sengaja menambah bilangan rakaat dengan alasan niatnya baik dan ikhlas melakukannya kerana ALLAH. Dia bersangka baik ALLAH akan menerima amalannya itu.

Jelas kita semua setuju solat itu tidak diterima ALLAH, bahkan ia bukan suatu yang diredai ALLAH, tidak berpahala bahkan berdosa kerana cara perlaksanaannya menyelisihkan sunnah Nabi SAW.

Begitu juga kisahnya Robin Hood yang terkenal berniat baik ingin membantu orang miskin, lalu dia mencuri untuk mengagihkan hasil curiannya kepada golongan miskin.

Jika kita menilainya dengan akal kita yang cetek, mungkin kita merasakan ianya tidak salah. Namun jika dilihat tindakan itu dari sisi kaca mata syariat Islam, ia adalah perbuatan yang buruk dan tidak dibolehkan sama sekali walaupun pelakunya mendakwa niatnya baik.

Jadi niat yang baik sama sekali tidak boleh menjadi hujah untuk menjustifikasikan sesuatu perbuatan atau amalan itu juga sebagai baik. Demikianlah halnya dengan Hari Valentine.

Kasih sayang setiap hari


Sebenarnya masyarakat Islam tidak perlu mengikuti budaya kafir untuk mempamerkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan sesama keluarga dan sesama yang dicintai. Mereka harus berbangga dengan ajaran Islam dan kekal mengikuti budaya dan syariat Islam.

Ini kerana agama Islam lebih awal lagi menitik beratkan dan memerintahkan umatnya agar sentiasa memupuk kasih sayang setiap hari, menyebar salam apabila bertemu walaupun terhadap orang yang tidak dikenali, mengungkapkan rasa sayang pada bila-bila masa terhadap orang yang kita kasihi. Bahkan Islam menjadikan rumah sebagai tempat asas untuk berkasih sayang.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH hanya menyayangi hambaNya yang penyayang.” (Hasan, riwayat Al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabiir).

Bukan sahaja kepada manusia, Islam juga menyuruh umat bersikap rahmat yakni mengasihi dan berbuat baik kepada makhluk ALLAH yang lain.

Sabda Nabi SAW, “Barang siapa yang merahmati meskipun seekor sembelihan maka ALLAH akan merahmatinya pada hari kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari di Al-Adab Al-Mufrod dan dihasankan oleh Syaikh Albani)
Maka alternatif perlu disediakan dan dikempenkan kepada masyarakat.

Masyarakat perlu dijelaskan bagaimana cara berkasih sayang menurut ajaran Islam. Islam tidak pernah melarang untuk kita sesama manusia berkasih sayang cuma Islam meletakkan garis panduan dan batas pergaulan yang perlu dipatuhi tidak lain tidak bukan demi menjaga kemaslahatan manusia itu sendiri.

Saya pernah berbual dengan seorang rakan. Dia menceritakan rakannya banyak membuat maksiat, antaranya meminum arak. Tetapi pada suatu hari setelah rakannya itu selesai minum arak dan keluar dari Pub, ada seekor anjing datang dekat kepadanya. Rakannya itu terkejut dan mengatakan anjing itu haram dan dia perlu menyamaknya.

Sedangkan dia baru sahaja meminum arak. Arak hukumnya haram. Dia minum arak, tetapi mengapa dia takut dengan anjing? Ini kerana ianya dibudayakan.

Sentimen dan budaya masyarakat kita menekankan dan mendoktrinkan anjing adalah haram, anjing tidak boleh disentuh, anjing adalah najis. Apabila ia dibudayakan, secara automatik orang tidak suka kepada anjing, berasa sensitif dan secara automatik akan menjauhinya.

Oleh kerana itu, hal yang sama perlu dilakukan dalam permasalahan ini. Penjelasan perlu diberikan kepada anak muda agar mereka membudayakan kasih sayang menurut cara Islam dan membenci budaya Barat yang bercanggah dengan nilai Islam.

Dengan cara itu, mereka dengan sendirinya berasa ganjil dan tidak selesa dengan budaya kasih sayang yang dipupuk melalui Hari Valentine.



Dr Fathul Bari Mat Jahya
Sinarharian

Post a Comment

0 Comments